Mawaddah Ilmi Ingin Pulang by Auni Zainal

 Assalamualaikum, good day dearest!


Tajuk: Mawaddah Ilmi Ingin Pulang

Penulis: Auni Zainal

Mukasurat: 442

Genre: Slice of life, Kesihatan mental

Penerbit: IMAN Publication

Terbitan: 2021

ISBN: 9789672459125

Blurb:

Dia diam apabila marah.

Dia diam apabia sedih.

Dia diam apabila kecewa.


Mawaddah Ilmi tidak tahu apa masalah dirinya. Namun, dia sentiasa pasti yang dia tak berhak disayangi, apatah lagi layak ke syurga.


"Aku tak pernah buat apa-apa dengan betul. Aku menyusahkan orang lain sejak dulu. Semuanya salah aku sebab aku tak cukup baik."


Pendirian Mawaddah berubah sejak Iffat Rusyaidi melihat dia dimalukan semasa suatu temu duga. Dia sentiasa mengelak daripada Iffat, sehinggalah dia menyedari Iffat sebenarnya mengetahui kisah silamnya yang selama ini dilindungi.


Sehelai nota dari masa lalu membuatkan Mawaddah tersedar bahawa ada sesuatu dalam dirinya yang dapat diselamatkan - jika dia berani memaafkan dan mencintai dirinya sendiri.


Aku beli novel ni lama dah dan lepas baca terus tertanya kenapalah aku tak baca novel ni awal-awal. Best gila! Cerita yang penuh dengan rasa. Bab permulaan sangat menarik perhatian dan membuatkan aku curious dengan kisah seorang Mawaddah Ilmi.


Walaupun berjaya menjadi seorang penulis terkenal, Mawaddah bagaikan sudah hilang minat pada bidang itu dan cuba untuk mengubah arah kerjayanya ke bidang yang diambil semasa belajar, kejuruteraan mekanik. Disebalik seorang Mawaddah Ilmi yang kelihatan biasa-biasa, tersimpan kisah duka, trauma, dan pengkhianatan yang menjadikan dia sakit. Kesakitan yang telah menyebabkan perkahwinannya dengan Najwan terputus sekaligus menyebabkan dia 'hilang' hak atas anaknya, Najah.


Membawakan tema kesihatan mental, kekeluargaan dan romantik, naskhah ni penuh dengan pelbagai rasa. Ditambah pula dengan plot twist yang penulis sajikan, memang sukar untuk aku berhenti membaca. Jujurnya, aku baca buku ni hujung tahun lepas dan memandangkan dah lama, malas nak review. Tapi, aku rasa rugi pula kalau tak share buku ni sebab ceritanya sangat best!


Tambah pula dengan kisah di zaman kanak-kanak Mawaddah yang penulis selang-selikan dengan masa kini banyak menimbulkan tanda tanya. Peristiwa yang Mawaddah lalui dah cukup meninggalkan kesan kepada aku, tetapi saat Mawaddah mengetahui rahsia maknya dan temannya, Hazlan, aku tak boleh elak rasa sedih dan terkilan. Lagi-lagi bila maknya sendiri mengunci mulut dan menjadikan dia kambing hitam. Kejam sungguh!


Tema kesihatan mental yang dibawa penulis merupakan tema yang agak berat tetapi cara penulis mengarang dan menyusun cerita membuatkan topik ni mudah untuk dihadam dan difahamkan. Dan diringankan lagi dengan kehadiran Iffat, lelaki yang mengenali Mawaddah tanpa dia sedari. Aku suka dengan cara penulis 'mendekatkan' Mawaddah dengan Iffat, terasa bermakna dan comel.


Mengikuti kisah Mawaddah, macam-macam emosi yang aku dapat rasa. Lagi-lagi yang melibatkan trauma dan kesakitan Mawaddah, apa yang dia rasa, sangat intense sehingga aku pun terikut-ikut. Bayangkanlah dari mula lagi kita dapat rasa perasaan yang bermacam dan setiap rasa tu semakin lama semakin terbubar mengikut perkembangan watak Mawaddah. Rasa lega lepas Mawaddah melepaskan segalanya adalah perasaan yang sangat indah. Aku tumpang gembira untuk dia. Walaupun naskhah ni tebal, aku langsung tak terasa ketebalannya sebab ceritanya yang engaging. Terima kasih kak Auni untuk kisah Mawaddah Ilmi ni.


-thes

Post a Comment

0 Comments