Assalamualaikum, good day dearest!
Tajuk: Selagi Pohon Lemon Tumbuh
Penulis: Zoulfa Katouh
Penterjemah: Afifah Ibrahim
Mukasurat: 431
Genre: Perang, Romantik
Penerbit: Bibliopress
Terbitan: 2024
ISBN: 978-967-0040-72-1
Related title(s): As Long As Lemon Tree Grows
Blurb:
Hati Salama berbelah bahagi. Adakah dia patut kekal di Syria untuk membantu mangsa tercedera atau pergi untuk menyelamatkan kakak iparnya yang sedang sarat mengandung? Dia sudah kehilangan seluruh keluarganya dan terus-menerus dihantui Khawf - sebuah halusinasi yang muncul tatkala dia dihimpit kengerian. Setiap hari, traumanya menjadi bahan permainan Khawf. Dia dipaksa untuk segera meninggalkan Syria.
Digelumangi kematian dan kekerasan, Salama kagum melihat kekuatan rakyat Syria. Anak-anak kecil di ambang kematian masih mampu tersenyum. Tentera Pembebasan Syria yang kehilangan anggota badan enggan menyerah selagi kudrat mereka masih ada. Pekerja perubatan bekerja keras meskipun hari mereka sentiasa ditemani oleh mayat yang bergelimpangan dan kecederaan yang lebih menakutkan daripada ajal.
Bagi Salama, dia tidak akan pernah bahagia di sini, sehinggalah dia bertemu Kenan. Seorang jejaka muda yang sanggup membahayakan nyawanya demi Syria. Kenan masih memandang Syria sebagai sebuah negara yang dihiasi pelbagai rona kehidupan. Baginya, kebahagiaan tidak mustahil. Dialah sumber harapan Salama.
Namun, hidup di sebuah negara dalam peperangan bukanlah mudah. Setiap hari ada sahaja yang perlu dirisaukan. Mereka bagaikan hidup di dalam neraka dunia. Jadi, bagaimana patut mereka melalui kehidupan tatkala dikhianati kerajaan sendiri? Mampukah mereka terus cekal berjuang?
As Long As Lemon Tree Grow merupakan buku yang aku dah lama teringin nak beli. Dan bila pihak Biblio umum terjemahannya, aku terus adjust wishlist untuk tambah buku ni.
Buku ni mengisahkan Salama, seorang gadis 18 tahun yang mengambil jurusan farmasi yang terpaksa menjadi seorang pakar bedah disebabkan peperangan yang berlaku di bandar kelahirannya, Homs. Salama hanya mempunyai Laila, sahabat merangkap kakak iparnya yang sarat mengandung. Akibat tekanan yang dihadapinya setiap hari, Khawf muncul mempersoalkan setiap keputusan yang dibuatnya.
Penceritaan pada awalnya agak perlahan as Salama menelusuri hari-harinya dengan rutin yang sama. Situasi peperangan yang digambarkan sangat memilukan. Tekanan yang dirasakan Salama, terasa jelas seolah-olah aku pun ada di situ. Naratif keadaan di hospital tempat Salama bekerja selalunya menyesakkan dengan pelbagai kehancuran akibat kekejaman tentera kerajaan.
Perkenalan Salama dan Kenan menambahkan sedikit kemanisan. Aku suka dengan sejarah antara mereka. Dengan adanya Kenan, Salama lebih terbuka memahami revolusi yang diperjuangkan kebanyakan rakyat Syria. Dan bersama Kenan, Salama lebih tenang dan lebih rasional menghadap Khawf. Aku sangkakan buku ni cuma punya kisah yang straightforward, linear. Jadi, aku tak jangka langsung dengan kejutan yang penulis beri. Menyakitkan tapi make sense kejutan tu. Pengakhiran kisah Salama, Kenan, Khawf dan Laila bagi aku sangat memuaskan walaupun ada rasa yang sedikit pahit.
Aku taklah pro mana tapi terjemahan ni tak kekok, tak baku, penyampaian dan pengolahan yang baik, semuanya membuatkan kisah Salama ni sampai ke hati. Paling best bagi aku adalah keadaan buku ni yang floppy, memudahkan aku nak baca dan tak perlu risau spine patah hehe.
-thes
0 Comments